CARSOME taja 50 kereta kepada mangsa kebakaran paip gas

CARSOME taja 50 kereta kepada mangsa kebakaran paip gas

Syarikat itu sedia lanjut tempoh pinjaman selama sebulan jika perlu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan CARSOME Aaron Kee (kanan) pada majlis penyerahan bantuan di pekarangan Stesen LRT Putra Heights.
SUBANG JAYA:
CARSOME menaja 50 kereta untuk dipinjamkan sebulan dengan pilihan tempoh dilanjutkan, bergantung keperluan mangsa kebakaran paip gas Putra Heights.

Bagi fasa pertama hari ini, syarikat e-dagang kereta bersepadu itu akan menyerahkan 20 kenderaan, manakala selebihnya diserahkan dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata CARSOME antara tiga syarikat swasta tampil menyumbang kepada mangsa, selain Berjaya Corporation Berjaya (BCorp) yang menyumbangkan RM3,000 kepada 300 keluarga, manakala syarikat pemaju Matrix Concept Holdings Berhad (Matrix) menyalurkan RM3,000 kepada 100 keluarga.

Katanya, pada Isnin ini, ada syarikat bersetuju menaja 63 motosikal kepada mangsa terjejas.

“Jadi, banyak syarikat korporat tampil ke depan menyampaikan bantuan dan sumbangan. Ini merupakan satu sumbangan yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ia menunjukkan bahawa apabila kita ditimpa bencana dan kesusahan, semua pihak berganding bahu bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk bersama membantu antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis penyerahan bantuan di pekarangan Stesen LRT Putra Heights.

Hadir sama Pengasas BCorp Vincent Tan, Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Eric Cheng, Pengarah Urusan CARSOME Malaysia Chris Ang, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan CARSOME Aaron Kee, dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Sementara itu, Eric mewakili CARSOME ketika ditemui FMT, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut bukan pertama kali, sebaliknya pernah melakukan perkara sama kepada mangsa banjir sebelum ini.

“Sebelum ini kami beri kereta kepada mangsa banjir, hari ini kita beri kenderaan kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, di mana untuk permulaan kita beri sebulan dan akan lihat jika ada keperluan kita akan lanjutkan tempoh pinjaman.

“Program bantuan ini akan diteruskan oleh kami pada masa hadapan dalam meringankan beban mereka yang menghadapi kesusahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.