
Bantuan ini untuk memastikan mereka tidak perlu menangguhkan persekolahan dan boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Bagi tujuan ini, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan mengenal pasti jumlah pelajar yang terjejas bagi menyalurkan bantuan merangkumi pakaian seragam, alat tulis, buku dan peralatan sekolah serta keperluan lain yang diperlukan kepada pelajar yang terlibat.
“Walaupun YIDE ditubuhkan oleh Mais sebagai sebuah institusi kebajikan untuk menyantuni anak-anak yatim beragama Islam dan menyalurkan bantuan akibat bencana di Selangor, namun bagi maksud menyantuni mangsa tragedi di Putra Heights selaras dengan titah Sultan Selangor, bantuan oleh YIDE akan turut diberikan kepada mangsa pelajar yang bukan beragama Islam,” menurut kenyataan.
Perkembangan ini diumumkan oleh Pengerusi Mais, Senator Salehuddin Saidin.
Beliau berkata Mais, polis dan exco agama Islam dan pembudayaan inovasi Selangor dititahkan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi bagi membincangkan hal berkaitan bantuan bagi pemulihan mangsa.
Selanjutnya, Sultan Sharafuddin menitahkan pihak pengurusan masjid dan surau terutama yang berdekatan dengan lokasi tragedi di Putra Heights bersedia untuk digunakan sebagai pusat penempatan sementara (PPS).
Bagi tujuan itu, Mais akan bertanggungjawab untuk memperuntukkan bantuan kewangan bagi tujuan pemulihan masjid dan surau yang mengalami kerosakan akibat tragedi ini jika ada, termasuk perbelanjaan untuk menyelenggara dan memulihkan masjid dan surau yang mengalami kerosakan selepas digunakan sebagai PPS.
“Sultan Selangor turut menitahkan agar aktiviti solat fardu berjemaah hendaklah terus dilaksanakan seperti biasa di masjid dan surau dan tidak ditangguhkan sepanjang masjid dan surau tersebut digunakan sebagai PPS,” katanya.
Bagi menyantuni mangsa tragedi, Sultan Sharafuddin menitahkan Lembaga Zakat Selangor untuk mengenal pasti jumlah mereka yang mengalami kemusnahan dan kerosakan harta benda bagi tujuan menyalurkan bantuan zakat yang bersesuaian kepada mangsa yang terjejas.
“Keutamaan dan kesegeraan bantuan akan diberikan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal atau mangsa yang mengalami kerosakan rumah yang teruk,” katanya.
Terdahulu dilaporkan seramai 630 mangsa daripada 157 keluarga berada di dua PPS, iaitu Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Selain itu, 624 mangsa daripada 151 keluarga menetap di rumah saudara atau kawan, atas usaha sendiri.
Berkenaan rumah yang rosak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mendapati 87 buah rumah yang mengalami kerosakan ‘total loss’ dan tidak boleh didiami.
Selain itu, sebanyak 148 buah rumah yang terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.
Secara keseluruhan, sehingga kini 308 keluarga melibatkan 1,254 mangsa dikenalpasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.