
Kebersamaan ini penting bagi penghuni pusat jagaan warga emas ini, khusus untuk wanita Muslim yang tiada waris atau pasangan, lebih lagi bagi yang kurang upaya dari segi fizikal atau mental.
Pengasasnya, Faezah Ali, 42, amat maklum betapa di Lembah Klang, di mana ada sahaja perkara baharu memuncul, golongan tua sering dilupakan. Sudah lebih 50 warga emas meninggalkan kehangatan ‘geng akrab’ ini buat selama-lamanya, sejak Mesra Home mula beroperasi pada 2013.
“Setiap hari berada di Mesra Home, saya tidak mahu buang masa untuk tidak meninggalkan kenangan manis dengan mereka,” kata jururawat ini kepada FMT.

Lembah Klang barangkali bukan tempat yang mudah untuk menjaga warga emas, apa lagi bagi golongan asnaf yang tiada waris atau pasangan. Atas kesedaran ini, Faezah, yang pernah berkhidmat di hospital dan biasa menguruskan pesakit berusia, terdorong untuk membina Mesra Home bersama suaminya, Razali Mohamed.
“Kalau kita tak jaga siapa nak jaga? Bukan mereka tidak mahu berkahwin, bukan mereka tidak mahu mempunyai anak, jadi tak perlu salahkan sesiapa sebab inilah suratan,” kata Faezah.

Razali, ketika ditanya tentang cabaran membiaya pusat jagaan seperti ini, berkata Mesra Homes berusaha menjana pendapatan sendiri dengan pelbagai cara, seperti menjual buku dan barangan, dan menganjurkan acara, di samping bergantung pada derma.
“Semua hasil itu digunakan untuk menampung keperluan nenek-nenek di sini,” katanya.
Melihat tiga kakitangan Mesra Homes mengurus penghuninya sememangnya suatu pengalaman yang menginsafkan. Segala peranti yang kita banggakan hari ini kelihatan sia-sia apabila daya fikir merosot dimamah usia.
Pesan Faezah, penjagaan warga emas merupakan suatu proses pembelajaran yang berterusan, mencakupi aspek fizikal, emosi, kewangan, sosial, dan kerohanian.

“Setiap seorang itu saya belajar mengenali mereka, sekaligus membuatkan kita mengenal diri kita juga. Daripada itu saya faham, kita jaga nenek tetapi sebenarnya nenek yang didik kita, sebab mereka ini bagaikan cerminan macam mana bila kita tua nanti” katanya.
Sebuah Volkswagen Beetle klasik warna kelabu menyambut kami di ruang parkir Mesra Homes. Berkilat dan dijaga dengan baik, kereta ini gambaran tekad penghuni Mesra Home menjalani usia senja dengan kasih sayang.
Bagi Faezah, yang telah 12 tahun terlibat dengan kerja amal, mengurus warga emas bukan sekadar kerja. Kerja ini katanya memberi kebahagiaan.
“Dari tahun 2013 sampai sekarang, dah lebih 50 orang nenek yang meninggalkan saya. Kalau nak diikutkan, saya sentiasa dalam keadaan berduka, sebab setiap satu mereka ini saya anggap macam sahabat sendiri.
“Satu hari nanti saya akan merindui wajah-wajah ini, rindukan nasihat mereka, inilah yang saya cakap rahmat,” katanya.