Panggil sidang khas bincang kebakaran saluran gas, Azmin beritahu MB

Panggil sidang khas bincang kebakaran saluran gas, Azmin beritahu MB

Ketua pembangkang Selangor kata kejadian menimbulkan persoalan serius.

mohamed azmin ali
Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali, mahu kerajaan Selangor jalankan siasatan bagi menjawab persoalan yang berbangkit berhubung kebakaran saluran gas di Putra Heights.
PETALING JAYA:
Pembangkang Selangor mahu menteri besar memanggil sidang khas DUN bagi membincangkan kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, yang menyaksikan ramai cedera dan kemusnahan harta benda.

Ketua Pembangkang Azmin Ali berkata kejadian menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pematuhan dan penguatkuasaan dalam aspek keselamatan.

“Sidang khas mesti dipanggil serta-merta mengikut Perkara 10(3) Peraturan Tetap DUN,” menurut kenyataan.

Azmin juga mahu kerajaan Selangor menjalankan siasatan bebas, terperinci, dan telus bagi menjawab persoalan-persoalan yang berbangkit berhubung kejadian tersebut.

Beliau mahu laporan siasatan mengemukakan syor-syor dan langkah-langkah pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang jajaran paip gas secara berkala.

“Laporan ini mesti dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang DUN,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin mencadangkan penubuhan suatu pasukan petugas untuk menasihati Petronas berhubung ganti rugi yang berpatutan kepada mangsa.

“Satu task force yang mempunyai talian terbuka mesti ditubuhkan segera untuk mengumpul data dan maklumat mangsa termasuk data kerugian dan kecederaan,” katanya.

Angkatan Pertahanan Awam Selangor dilaporkan berkata jumlah mangsa kebakaran meningkat kepada 536 orang pagi tadi berbanding 427 orang semalam.

Polis turut dilapor berkata seramai 111 mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital, dan 235 premis terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.