
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan mangsa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di Hospital Putrajaya (14 orang), Hospital Sultan Idris Shah di Serdang (28), Hospital Cyberjaya (25), Hospital Ampang (1), dan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin di Kajang (2).
Sementara itu, Subang Jaya Medical Centre menerima 22 kes, Hospital Thomson satu kes, Hospital Pakar Avisena lima kes, dan Hospital Columbia Asia di Bukit Rimau dua kes.
Dalam pada itu, KKM melaporkan lapan pasukan perubatan daripada pelbagai hospital di Lembah Klang diaktifkan untuk memberikan respons di tempat kejadian, selepas kebakaran saluran paip gas dilaporkan pagi tadi.
Pasukan ini ditempatkan di tiga lokasi pusat pengumpulan mangsa bersama-sama dengan pasukan bomba.
“Setakat ini keadaan adalah terkawal di tempat kejadian dan hospital-hospital kerajaan di Lembah Klang masih mampu untuk menerima kes-kes ini buat masa ini, sama ada yang datang dengan ambulans atau secara sendiri (walk-in) ke ETD,” menurut kenyataan.
Sementara itu, polis melaporkan jumlah mangsa adalah seramai 364 orang iaitu melibatkan 74 keluarga. Mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Heights dan dan Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Berhubung keadaan 100 mangsa yang sedang dirawat di hospital, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, memaklumkan kepada pemberita bahawa 12 berada dalam zon merah (serius), 50 zon kuning (separuh serius), dan 38 zon hijau (ringan).
“Sesiapa yang memiliki simptom akibat daripada ‘hydrocarbon hazard’ iaitu seperti sakit tekak dan batuk, pergi ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan saringan kesihatan,” katanya, menyampaikan pesan bagi pihak KKM.
Sukarelawan bomba yang dihubungi FMT turut menyelamatkan haiwan peliharaan, iaitu dua ekor anjing, tiga ekor arnab, dan seekor tikus Belanda.