
Polis terpaksa memecahkan tingkap SUV apabila suspek cuba melarikan diri. Suspek cuba melawan semasa tangkapan namun dapat ditahan dan kanak-kanak lelaki tersebut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad memaklumkan suspek melarikan SUV itu dalam kejadian di Masjid Kampung Banggol, Tasek Gelugor sekitar 8 malam semalam, dan ditahan di R&R Behrang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, sekitar 3.45 pagi tadi.
Seorang individu tidak dikenali mengambil kesempatan melarikan SUV itu bersama kanak-kanak tersebut ketika si bapa keluar sebentar untuk memujuk seorang lagi anak yang berusia setahun, dengan enjin masih hidup di kawasan letak kenderaan masjid.
Si bapa cuba mengejar tetapi gagal. Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang kemudian berjaya mengesan SUV terbabit di stesen minyak R&R berkenaan, dengan suspek ditemui sedang tidur dalam kenderaan dengan enjin masih hidup.
“Apabila diminta untuk membuka pintu, suspek enggan dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan, menyebabkan pelanggaran dengan kenderaan polis yang berada di belakangnya.
“Polis berjaya memecahkan tingkap kenderaan dan suspek cuba melawan semasa tangkapan dilakukan,” menurut kenyataan.
Siasatan mendapati suspek seorang warga tempatan berusia 36 tahun, dengan rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki, serta lima kes jenayah lain.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) kerana melarikan orang dengan salah, dan Seksyen 379A KK kerana mencuri kenderaan.
“Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, terutamanya dalam keadaan enjin masih hidup,” kata Hamzah.