
KKM dalam jawapan bertulis kepada Senator Dr RA Lingeshwaran berkata, ia berhasrat meningkatkan biasiswa dan memperkenalkan peluang kenaikan pangkat lebih baik buat doktor dalam bidang itu.
“Untuk hospital yang tiada pakar geriatrik tetap, KKM memperkenalkan program jangkauan di mana pakar dari hospital lain akan melawat hospital ini untuk memberikan penjagaan geriatrik kepada pesakit,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Jabatan Perangkaan, 14.5% rakyat Malaysia akan berumur 65 tahun ke atas menjelang 2040, hampir dua kali ganda daripada 8.1% yang direkodkan tahun lalu.

Lingeshwaran sebelum ini berkata, Malaysia hanya mempunyai 67 pakar geriatrik, dengan 51 daripadanya di hospital kerajaan.
Katanya, ketika ini, hanya terdapat seorang pakar geriatrik bagi setiap 40,000 warga emas (berumur 65 tahun ke atas).
“Ini jauh daripada sasaran kerajaan untuk mempunyai seorang bagi setiap 10,000 warga emas,” katanya kepada FMT.
Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang itu berkata, Dewan Negara dimaklumkan baru-baru ini sekurang-kurangnya 549 pakar geriatrik diperlukan menjelang 2030.
“Mustahil mencapai sasaran ini pada kadar semasa,” katanya sambil menambah KKM menyatakan hanya kira-kira lapan pakar geriatrik dihasilkan setiap tahun.