Aidilfitri Agy kecoh sejak kecil, meriah sampai kini

Aidilfitri Agy kecoh sejak kecil, meriah sampai kini

Tak ada istilah makin dewasa, makin hambar kerana kitalah yang seronokkan hari raya, kata Agy.

ORANG RAYA
Agy dan keluarga sentiasa beraya dengan cara paling meriah.
SABAK BERNAM:
Dari kecil lagi suasana Aidilfitri di rumah pempengaruh, Agy, memang kecoh.

Kekecohan yang dipenuhi tawa dan momen-momen yang dicipta bersama, di samping tradisi turun-temurun.

Tahun lepas keluarganya tular apabila video mereka menari berlatarkan lagu trending ‘Alamak Raya Lagi‘ mendapat sambutan luar biasa di media sosial, dengan tontonan mencecah 30 juta.

Warganet teruja melihat keakraban keluarga Agy, atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy Rajan, menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan.

Bagi Agy, 30, kemeriahan raya bukan sesuatu yang datang sendiri.

“Tak ada istilah makin dewasa, makin hambar. Lagi besar kita, lagi banyak kuasa untuk tentukan sendiri macam mana nak buat raya tu meriah,” katanya kepada FMT.

“Jangan tunggu hari raya seronokkan kita. Kitalah yang seronokkan hari raya.

Tahun ini, kegembiraan keluarga Agy berganda apabila video raya mereka ‘Cerita Raya Agy’ mendapat sambutan luar biasa sejak diterbitkan akhir Februari lalu. Lagu ciptaan Farique dengan lirik hasil garapan Adah dan Agy sendiri mencecah hampir 300,000 tontonan dalam tempoh dua minggu di YouTube.

PINK RAYA
Sebahagian daripada keluarga yang sentiasa menyokong kerjaya seni Agy.

“Saya buat muzik video ni sebab nak simpan kenangan bersama keluarga — datuk, nenek, ibu bapa, ibu saudara, sepupu semua ada. Satu hari nanti, bila tengok balik, kami akan ingat momen ni,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Bagi ibu Agy, Fadhilah Khamzah, 51, faktor duit bukan penentu utama kemeriahan Aidilfitri.

“Kadang-kadang raya orang kaya lagi sunyi. Kita yang sederhana ni selalunya lebih meriah,” katanya.

Nor Ahmad Khamzah
Nor Ahmad Khamzah.

Bapa saudara Agy, Nor Ahmad Khamzah, 56, memastikan kemeriahan itu berterusan, lantas beliau digelar ‘Tok Dalang’.

“Kami bergilir berbuka puasa di rumah adik-beradik sepanjang Ramadan. Rumah saya yang terakhir. Malam tujuh likur, saya pasang lampu lip-lap, pelita, biar anak-anak semua rasa kemeriahan. Itu kenangan yang mereka akan bawa sampai besar.”

Muhammad Affimim
Muhammad Affimim.

Adik Agy, Muhammad Affimim, 25, percaya kemeriahan raya perlu dirancang. “Dulu masa kecil, kita tak fikir banyak. Semua benda seronok.”

“Tapi bila dah dewasa, kalau kita sendiri tak usaha buat raya tu meriah memang tak akan rasa seronok,” katanya.

Bagi keluarga Agy, Aidilfitri bukan sekadar hari meraikan kemenangan selepas sebulan beribadat dan bermuhasabah. Ia pengalaman yang dicipta bersama, mengisi liang-liang masa dengan makna, di celah-celah amalan zaman-berzaman.

“Kalau rasa raya hambar, mungkin sebab kita sendiri yang tak cuba buat ia lebih seronok,” kata Agy, dengan senyuman penuh makna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.