Asheeq Ali tawar diri tanding ketua PKR Batu

Asheeq Ali tawar diri tanding ketua PKR Batu

Asheeq Ali berkata pemilihan kali ini amat penting untuk memastikan PKR terus diperkukuh dengan jentera mantap menghadapi PRU16.

Asheeq Ali
Bekas aktivis mahasiswa Asheeq Ali akan bertanding merebut jawatan ketua PKR Batu pada pemilihan akan datang. (Gambar LinkedIn)
PETALING JAYA:
Peguam Asheeq Ali menawarkan diri bertanding jawatan ketua bahagian Batu pada pemilihan PKR.

Bekas aktivis mahasiswa itu akan mencabar penyandang P Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu ketika ini.

Asheeq berkata, pemilihan kali ini amat penting untuk memastikan PKR terus diperkukuh dengan jentera mantap menghadapi PRU16 dan Anwar Ibrahim kekal sebagai perdana menteri penggal seterusnya.

“Sebagai bekas aktivis mahasiswa dan kini seorang peguam, saya telah berjuang demi hak asasi manusia, keadilan sosial, dan kedaulatan undang-undang.

“Saya menyertai PKR dengan satu matlamat utama iaitu bagi memperkukuh perjuangan di cabang (bahagian) Batu. Batu bukan sekadar kawasan, tetapi ia adalah simbol kekuatan rakyat, gerakan akar umbi, dan keadilan sosial yang perlu terus dipertahankan,” katanya dalam kenyataan.

Asheeq berkata, Batu pernah menjadi bahagian terkuat PKR di Wilayah Persekutuan, jantung gerakan rakyat dan kubu reformasi yang menjadi nadi perubahan.

Katanya, kegemilangan Batu mesti dikembalikan sebagai benteng utama perjuangan PKR di Wilayah Persekutuan, dengan semangat juang segar dan kepimpinan yang dinamik.

Beliau berkata, fokus utamanya adalah berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang, memperjuangkan isu setempat, dan mengangkat suara mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Saya yakin dengan dukungan anggota cabang, kita mampu mengembalikan Batu ke tempatnya yang sebenar sebagai kubu utama reformasi di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Pemilihan jawatankuasa sayap Wanita dan Pemuda peringkat bahagian akan diadakan pada 11 hingga 20 April, manakala Majlis Pimpinan Pusat dan ketua sayap Wanita serta Pemuda 24 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.