Suspek pecah rumah cuba bunuh anggota, polis lepas tembakan

Suspek pecah rumah cuba bunuh anggota, polis lepas tembakan

Dua suspek berjaya ditangkap selepas merompak sebuah kediaman di Jalan SS14 Subang Jaya.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihak berkuasa lepas beberapa das tembakan susulan tindakan suspek melanggar motosikal dan seorang anggota polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis melepaskan beberapa das tembakan ke atas dua suspek pecah rumah, dalam kejadian di Jalan SS14, Subang Jaya.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat, berkata dalam kejadian 3.50 petang tadi tembakan dilepaskan ke arah kenderaan suspek, yang bertindak melanggar motosikal serta seorang anggota polis di lokasi kejadian.

“Kedua-dua lelaki tempatan berusia 30 dan 40-an itu terus melarikan diri sehingga ke jejambat di Jalan SS14 sebelum berjaya ditangkap pihak polis.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memecah masuk rumah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata sebelum itu, anggota ronda cegah jenayah yang berada berhampiran bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat dan semasa tiba di lokasi, kedua-dua suspek dilihat sedang keluar dari kediaman mangsa menuju ke kenderaan yang berada di hadapan rumah berkenaan.

Wan Azlan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu kepada Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya melalui talian telefon 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Khairulazizi Ismail di talian 019-2817820.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.