
Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Tawfik Yaakub, mencadangkan badan itu dianggotai pakar akademik dan pengamal undang-undang yang boleh memberi nasihat berhubung tindakan salah guna kebebasan bersuara dengan menyebarkan kebencian.
“Menerusi kaedah ini, tuduhan bahawa pindaan ini mengekang kebebasan bersuara dapat dielakkan.
“Malah akta ini ini dilengkapi dengan kewujudan badan di Parlimen seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang berperanan dalam menjaga hak kebebasan bersuara secara adil,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menegaskan pemantauan lebih ketat perlu dilakukan bagi memastikan ketegasan kerajaan dalam membanteras jenayah dalam talian yang menjadi fokus pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 16 Feb lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan pindaan akta itu tidak akan menjejaskan kebebasan bersuara dalam talian, sebaliknya bertujuan menangani jenayah siber semakin berleluasa dan mewujudkan ekosistem internet lebih baik.
Tegasnya, hak kebebasan bersuara dijamin bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada digubal Parlimen.
Sebelum ini, Harakah Daily melaporkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, yang mendakwa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan menafikan hak kebebasan bersuara.
Penganalisis keselamatan dan perang saraf, Noor Nirwandy Mat Noordin, turut menepis dakwaan itu sambil menjelaskan pindaan terbabit menjadi langkah terbaik menangani jenayah siber dan salah guna kebebasan bersuara.
“Pindaan ini akan memastikan keseimbangan antara penyedia platform media sosial, pembekal internet, dan pengguna selain melindungi kumpulan rentan daripada ancaman jenayah siber, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak sereta eksploitasi digital.
“Ia penting bagi menjamin ekosistem peradaban media sosial perpaduan negara berasaskan nilai teras perlembagaan persekutan dan rukun negara,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).