
Seusai solat Jumaat, peserta berarak dari Menara Tabung Haji bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan AS yang terus menyokong Israel ketika tentera rejim Zionis berterusan membantai rakyat Palestin.
Peserta daripada pelbagai NGO dan parti politik itu membawa bersama keranda, replika jenazah bayi, dan plakad ‘hentikan genosid’.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memaklumkan pihak kedutaan enggan menerima memorandum mereka, yang menggesa AS menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel dan mengiktiraf hak mutlak rakyat Palestin.
“Kita juga akan menyerahkan memorandum ini kepada Asean, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam supaya sama-sama dapat memberikan tekanan kepada AS,” kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Hadir sama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, serta Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan bekas pemimpin PKR, Tian Chua.
Hari Al-Quds merupakan acara yang diadakan pada Jumaat terakhir bulan Ramadan, bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan penentangan terhadap Zionisme.
Dinamakan bersempena panggilan lazim masyarakat Arab bagi Baitulmaqdis, perarakan diadakan di merata dunia Islam bagi membantah pendudukan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur.
Sementara itu, Mahathir dalam ucapannya kepada peserta berkata Malaysia tidak bermusuh dengan AS namun tindakan kuasa besar itu menyokong Israel wajar dikecam.
“Mereka sudah lupa tentang hak asasi yang mereka sendiri sering cakap dan kononnya kita di Malaysia ini tidak ada hak asasi,” katanya.
Perhimpunan berlangsung secara aman, dan peserta bersurai pada 4 petang tadi.