
SSP berkata, perhimpunan aman selepas solat Jumaat itu diadakan bersempena dengan Hari al-Quds Sedunia dan peserta akan berarak dari bangunan Tabung Haji menuju ke kedutaan Amerika Syarikat pada 2 petang.
Hari al-Quds Sedunia diadakan di beberapa lokasi seluruh dunia pada Jumaat terakhir Ramadan bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan membantah penjajahan Israel.
Ahli kanan sekretariat Tian Chua berharap lebih 10,000 peserta akan menyertai perhimpunan itu dan berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin.
“Apa yang penting orang ramai mesti menyatakan sokongan mereka. Sekiranya kita bandingkan dengan (di negara Barat) kita lihat perhimpunannya sangat besar.
“Walaupun kerajaan di negara Barat ini menyokong Zionis tetapi rakyatnya tetap keluar beramai-ramai bagi membantah ketidakadilan,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu, jurucakap SSP Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan berkata polis sudah dimaklumkan mengenai perhimpunan tersebut.
“Kami sudah memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan ini pada minggu lalu, terutama IPD Wangsa Maju dan Dang Wangi,” katanya.