Himpunan solidariti Palestin di Bukit Jalil Ahad ini

Himpunan solidariti Palestin di Bukit Jalil Ahad ini

Himpunan di Stadium Axiata Arena itu menyusul selepas kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dalam serbuan rejim Zionis di Tehran, Iran.

anwar ibrahim palestin
Pada 24 Okt lalu, Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.
PUTRAJAYA:
Buat kali kedua, kerajaan akan menganjurkan satu lagi perhimpunan solidariti untuk Palestin yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Kabinet semalam bersetuju himpunan bermula 8 malam itu diadakan bagi menyatakan sokongan rakyat negara ini tanpa mengira ideologi politik.

Menurutnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka hadir dan kerajaan menjemput pelbagai pihak hadir memberi sokongan.

“Kita buka ruang semua pihak hadir dan bersama berikan solidariti,” katanya pada sidang media.

Beliau yang juga menteri komunikasi berkata himpunan itu diharap memberi signal jelas pendirian rakyat Malaysia tidak berubah dan tetap bersama rakyat Palestin.

Pada 24 Okt lalu, Himpunan Malaysia Bersama Palestin juga telah diadakan di Stadium Axiata Arena bagi menyatakan sokongan kepada negara berdepan serangan rejim Israel.

Pengumuman Fahmi itu menyusul kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dalam serbuan rejim Zionis di kediamannya di Tehran, Iran.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan memohon penjelasan daripada Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran video, ucapan takziah serta kritikan di beberapa akaun media sosial Anwar berhubung pembunuhan Ismail.

“Saya minta penjelasan kenapa hanya hantaran dimuat naik perdana menteri disasarkan.

“Kita sedang menunggu penjelasan daripada Meta,” katanya kesal dengan tindakan itu.

Mei lalu, Meta turut menurunkan hantaran berkaitan pertemuan Anwar dengan Ismail, tetapi kemudian mengembalikan catatan itu yang didakwa silap diturunkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.