Mekanisme harga 2 peringkat RON95 dibuat secara terperinci, kata Anwar

Mekanisme harga 2 peringkat RON95 dibuat secara terperinci, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tekankan bahawa majoriti rakyat biasa tidak akan terkesan dengan penyarasan subsidi RON95.

petrol fuel pump
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kira-kira 85-90% rakyat tidak akan terkesan dengan penyasaran subsidi RON95.
SHAH ALAM:
Mekanisme harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi petrol RON95 dibuat secara terperinci, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar menekankan bahawa majoriti rakyat biasa tidak akan terkesan dengan penyasaran itu.

“Kira-kira 85-90% rakyat tak kesan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat, ketika ditanya tentang mekanisme penetapan harga berkenaan.

Semalam, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan jangka kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 selepas separuh pertama tahun ini.

Dalam pada itu, Anwar menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan tidak benar tentang penyasaran subsidi RON95, mengatakan golongan yang kena adalah orang asing dan orang yang memperoleh gaji RM50,000 sebulan.

Pada 6 Nov tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan akan melaksanakan sistem harga dua peringkat untuk pelaksanaan subsidi bersasar RON95.

Menurut laporan The Edge, Rafizi menyatakan risiko inflasi lebih rendah menerusi mekanisme berkenaan berbanding kaedah pemindahan tunai digunakan kerajaan untuk subsidi diesel.

Pada 12 Nov tahun lalu, media melaporkan kenyataan Rafizi berhubung pengenalan sistem harga dua peringkat di stesen minyak iaitu bersubsidi dan sebaliknya, dengan beberapa kaedah dipertimbang termasuk pengesahan melalui kad pengenalan dan e-dompet.

Pada Mac, FMT melaporkan bahawa beberapa pakar ekonomi menyokong mekanisme harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi petrol RON95.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.