Sambutan Aidilfitri Madani di 8 negeri

Sambutan Aidilfitri Madani di 8 negeri

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani akan bermula di Melaka pada 5 April.

anwar ibrahim
Pegawai kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata majlis itu adalah wadah penting untuk rakyat meredakan suhu ketegangan antara kaum, agama dan menghormati serta meraikan perbezaan menerusi interaksi antara rakyat. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan meneruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di lapan negeri bermula di Melaka yang menjadi penganjuran peringkat kebangsaan pada 5 April.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Anwar Ibrahim akan berkunjung ke lapan negeri itu bagi meneruskan tradisi berkenaan.

“Perdana menteri akan berkunjung ke lapan negeri bermula Melaka, Selangor pada 6 April, Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) dan Perlis (27 April) ini,” katanya dalam sesi taklimat harian PMO.

Tunku Nashrul berkata, perincian lanjut terkait lokasi akan dimaklumkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) Jabatan Perdana Menteri yang menjadi sekretariat induk Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025.

Katanya, seperti tahun lalu Majlis Sambutan Aidilfitri Madani akan dianjurkan bersama antara kerajaan persekutuan dan negeri sebagai tuan rumah.

“Perdana menteri akan hadir bersama dengan menteri besar dan ketua menteri negeri berkenaan.

“Justeru, perdana menteri menjemput semua rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya untuk bersama hadir dan menyemarakkan nilai murni, kasih sayang, hormat-menghormati dan muhibah yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata, majlis itu juga adalah wadah penting untuk rakyat meredakan suhu ketegangan antara kaum, agama dan menghormati serta meraikan perbezaan menerusi interaksi antara rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.