
Bomba Selangor dalam satu kenyataan berkata pesawat Airbus A320 itu berlepas dari KLIA pada jam 9.59 malam tadi sebelum berpatah balik kerana berlaku kebakaran di enjin sebelah kanan.
Katanya, pesawat yang membawa 171 penumpang dan kru itu berlegar di ruang udara sementara menunggu arahan untuk mendarat sebelum berjaya mendarat dengan selamat di Runway 3 KLIA 2 pada jam 12.08 tengah malam tadi.
“Pegawai operasi melaporkan kebakaran telah dipadam sepenuhnya oleh sistem Halon pesawat dan punca kebakaran adalah disebabkan kerosakan Pneumatic Ducting Burst.
“Seterusnya anggota bertindak membantu mengeluarkan mangsa daripada pesawat dan memastikan tiada lagi punca api sehingga selesai,” kata kenyataan itu.
Pada 18 Mac lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur melakukan pendaratan cemas di KLIA selepas mengaktifkan tindak balas kecemasan akibat kebakaran di ruang kargo.
Ini kejadian kedua dalam tempoh seminggu membabitkan syarikat itu selepas satu penerbangan dari Manila ke Kuala Lumpur berpatah balik pada 14 Mac.
Dalam kejadian itu pesawat Malaysia Airlines dari Manila ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas salah satu enjinnya dilaporkan terbakar.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.