Anak hilang semua jari main mercun, polis cadang dakwa bapa

Anak hilang semua jari main mercun, polis cadang dakwa bapa

Polis Kedah berkata pihaknya sedang lengkap kertas siasatan untuk diserah kepada timbalan pendakwa raya.

Fisol Salleh
Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata lelaki berusia 30 tahun itu disiasat Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-kanak Berbahaya 2001. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis cadang mendakwa bapa kepada dua kanak-kanak yang seorang daripadanya hilang semua jari sehingga pergelangan tangan kiri akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Padang Terap, Jitra, Selasa lalu.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata ketika ini polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya selepas menahan lelaki berusia 30 tahun itu, pada 24 Mac lalu.

Beliau berkata, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama selepas percakapannya diambil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-kanak 2001.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun bagi kesalahan memiliki bahan letupan.

“Manakala, denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebabkan atau membiarkan kanak-kanak berada dalam situasi yang boleh menyebabkan kecederaan atau bahaya fizikal,” katanya menurut Berita Harian.

Dalam kejadian 8.15 malam Selasa lalu, dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun melecur akibat bermain mercun bola di hadapan rumah mereka di Kampung Baru, Padang Terap.

Susulan itu, satu laporan polis diterima pada 20 Mac daripada pegawai perubatan Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhubung kejadian itu, sekitar 9.30 malam.

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu hilang semua jari sehingga pergelangan tangan kiri, manakala bahagian bawah pipi kanannya pula terkoyak.

Adiknya mengalami melecur sedikit di bahagian badan, namun sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.