
Baginda menzahirkan kesyukuran apabila TH kini diterajui mereka yang profesional dan berpengalaman dalam menguruskan syarikat, berbanding sebelum ini.
Titahnya, kesan kepada perubahan pucuk pimpinan dapat dilihat apabila secara beransur-ansur prestasi TH meningkat dari tahun ke tahun.
“…dan pada tahun ini TH mampu untuk memberi dividen terbaik dalam tempoh tujuh tahun kepada pendeposit.
“Beta berharap pengurusan dan pimpinan tertinggi TH hendaklah terus bebas daripada penglibatan orang politik,” titah baginda menurut Utusan Malaysia pada Majlis Berbuka Puasa Ihya’ Ramadan di Shah Alam.
Pada 21 Mac, TH umum agihan keuntungan lebih baik iaitu 3.25% selepas zakat bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion itu bakal memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit.
Tahun lalu, TH umum kadar agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1% bagi tahun kewangan 2023, mengekalkan rekod sama selama empat tahun berturut-turut.
Secara keseluruhan sehingga kini, TH melunaskan zakat RM1.47 bilion bagi pihak pendeposit.