PRN Sabah: Calon bebas ‘gelombang hitam’ sasar tawan lebih 4 kerusi

PRN Sabah: Calon bebas ‘gelombang hitam’ sasar tawan lebih 4 kerusi

Ahli Parlimen Kudat Verdon Bahanda berkata calon bebas yang menang boleh jadi 'kingmaker' dalam pembentukan kerajaan Sabah.

Ahli Parlimen Kudat Verdon Bahanda yakin rakyat akan memberi peluang kepada wakil bebas yang perjuangannya terus kepada rakyat bukan presiden parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu gerakan menggabungkan calon bebas dikenali ‘gelombang hitam’ akan mencabar parti utama bagi menawarkan alternatif kepada rakyat pada PRN Sabah tahun ini.

Ahli Parlimen Kudat, Verdon Bahanda, yang mengasaskan gelombang itu pada PRU15 lalu yakin rakyat akan memberi peluang kepada wakil bebas yang perjuangannya terus kepada rakyat bukan presiden sesebuah parti.

Beliau mendakwa kelemahan dihadapi parti utama sama ada bertaraf nasional atau tempatan yang pernah mentadbir Sabah juga mungkin mendorong pengundi memilih calon bebas sebagai wakil mereka di DUN.

Bercakap kepada FMT, Verdon berkata ramai menghubunginya dan minta gelombang hitam yang membantu kemenangannya menewaskan wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Ruddy Awah tiga tahun lalu digerakkan pada PRN Sabah, mengambil kira dinamik politik semasa.

“Berdasarkan tinjauan di lapangan dan ‘mood’ pengundi, dijangka tiada satu parti boleh memerintah secara mutlak dan tunggal…80% anak muda di atas pagar lebih percaya individu bukan parti yang hanya menjadi platform berjuang.

“Jadi kemungkinan calon bebas jadi ‘kingmaker’ (dalam pembentukan kerajaan) itu ada jika berjaya menang beberapa kerusi,” katanya yang menyasarkan gerakan itu mampu menawan antara empat hingga lima DUN.

Pada PRN Sabah 2020, tiga daripada 56 calon bebas menang iaitu di Kuamut (Masiung Banah), Pitas (Ruddy) dan Kemabong (Rubin Balang). Semuanya menyokong pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.

Namun, Verdon menegaskan soal berkait kerjasama sama ada dengan GRS, Barisan Nasional (BN), Warisan atau Pakatan Harapan (PH) bagi pembentukan kerajaan hanya boleh diputuskan selepas PRN, bergantung keputusan peti undi.

“Setiap tindakan ikut kepentingan rakyat, seperti contoh saya sokong kerajaan perpaduan supaya segala permasalahan serta isu berbangkit di Kudat yang menjadi antara kawasan termiskin dapat diselesaikan.

“Tetapi saya tidak terikat kepada parti dan bebas bersuara demi kepentingan rakyat,” katanya mengesahkan bertanding di DUN Tanjong Kapor.

“Sudah ada calon bebas juga di Banggi, Bengkoka dan Pitas yang terletak bawah Parlimen Kudat.

“Ramai juga berminat tanding bebas bawah platform gelombang hitam, kita letakkan syarat iaitu mereka perlu bersama berjuang henti ketirisan dan satu hati tuntut hak Sabah,” katanya.

November tahun lalu, Hajiji dipetik berkata PRN Sabah boleh diadakan bila-bila masa tahun ini susulan penggal pentadbirannya tamat pada Oktober.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang bakal menjadi rebutan parti bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.