
Dalam kenyataan, tentera mengesahkan kematian anggota dalam insiden pada 24 Mac melibatkan prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, bertugas di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD).
Katanya, siasatan awal dilaksanakan pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ (pengendalian dengan cara kasar) menjurus penyebab kematian anggota itu.
“Justeru, tentera menyerahkan kes ini kepada polis untuk siasatan lanjut. Tentera turut menubuhkan lembaga siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor menyumbang kepada insiden itu,” katanya.
Dalam pada itu, memetik Berita Harian, Panglima Tentera Darat Hafizuddeain Jantan berkata pihaknya memandang serius insiden berlaku dan memberi jaminan tentera akan bekerjasama penuh demi memastikan siasatan dilaksanakan telus dan adil.
Katanya, laporan awal diterima hasil bedah siasat dilaksanakan Selasa lalu di Hospital Miri, mendapati punca kematian disahkan kerana trauma akibat benda tumpul pada dada, yang merujuk hentakan kuat pada bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.
Awal hari ini, laporan itu memetik sumber sebagai berkata, mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem dikejutkan dua anggota senior untuk bersahur, pada 2.15 pagi.
Dua senior terbabit bagaimanapun mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’ selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali sebelum bersahur.
Mangsa selepas itu dikatakan pitam sebelum kejadian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Dia dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada 3.05 pagi.