
Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kewujudan poster itu isyarat pertembungan antara ‘kem’ dalam parti itu telahpun bermula dan semakin memuncak.
Menurutnya, mutakhir ini, timbul beberapa isu yang menandakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Samsuri, meskipun beliau sudah hampir tujuh tahun memimpin kerajaan Terengganu iaitu sejak Mei 2018.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk kunjungan ke luar negara, isu berkaitan tanah kerajaan negeri dan prestasi ekonomi Terengganu berbanding gaji menteri besar.

“Apatah lagi pemberian dana raya RM500 pun atas ihsan kerajaan perpaduan,” kata Awang Azman.
Kemunculan poster terhadap Samsuri itu, yang tular di media sosial, mengundang pertanyaan warga net sama ada PAS Terengganu berdepan pergolakan dalaman.
Kelmarin, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tiada sebarang isu melibatkan Samsuri.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia menegaskan poster tersebut bukan bukti pergolakan antara pemimpin PAS Terengganu dengan pentadbiran negeri.

“Kecuali jika ada kumpulan yang jelas daripada kepimpinan PAS membuat kenyataan mereka tak setuju dengan Samsuri dan terbuktinya wujud perbalahan,” katanya kepada FMT.
Pemilihan PAS dijangka diadakan pada September ini.
Pada 19 Feb lepas, Samsuri memberitahu pemberita, beliau tidak pernah terfikir tentang bertanding jawatan presiden PAS, dan masih mempertimbangkan sama ada akan pertahan jawatan naib presiden yang disandang sejak 2019.
Penganalisis melihat Samsuri layak diketengahkan untuk jawatan presiden, sekiranya PAS merasakan ia perlu ‘agresif’ untuk pilihan raya akan datang, dengan memberi peluang kepada ‘teknokrat’.
Memandangkan PAS dianggap sebagai komponen terkuat dalam Perikatan Nasional, nama Samsuri disebut-sebut di sebalik cakap-cakap supaya calon perdana menteri didatangkan daripada parti itu.