Mayat bayi dalam tandas, 2 beranak direman

Mayat bayi dalam tandas, 2 beranak direman

Ibu dan anak perempuan berusia 18 tahun direman sehingga 29 Mac susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas.

Ketua Polis Sabak Bernam, Md Yusof Ahmad, berkata wanita itu tidak mengetahui anak perempuannya mengandung.
PETALING JAYA:
Dua beranak direman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Ahad lalu.

Wanita berusia 41 tahun dan anak perempuannya, 18, diberkas sekitar 6 petang hingga 8.30 malam, semalam, di Meru, kata Ketua Polis Sabak Bernam, Md Yusof Ahmad.

Katanya, anak perempuan itu merupakan pekerja restoran makanan segera.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek pertama dipercayai tidak mengetahui anak perempuannya itu mengandung,” katanya menurut Berita Harian.

Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza, pakaian, telefon bimbit, dan barangan lain daripada kedua-dua suspek.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek telah dimohon di hadapan Majistret Kuala Selangor, dan mereka direman empat hari bermula semalam hingga 29 Mac ini,” katanya.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, dilaporkan penemuan mayat bayi dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas di stesen minyak tersebut, pada 11.15 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.