
Muhammad Kamil Abdul Munim berkata mana-mana pihak tidak boleh menyalahkan kerajaan pusat berhubung isu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang perlahan di empat negeri itu yang dikenali sebagai State-Goverment 4 (SG4), lapor Bernama.
Katanya, Putrajaya memberikan pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk dana atau pembangunan infrastruktur kepada setiap negeri itu.
Ini termasuk bantuan khas Aidilfitri RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam di Terengganu yang diumumkan Kementerian Kewangan semalam.
Kamil, setiausaha politik anwar sebagai menteri kewangan juga berkata Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud bertemu perdana menteri beberapa minggu lepas bagi meminta bantuan percepatkan projek tebatan banjir di negeri itu.
Beliau berkata jumlah peruntukan kepada keempat-empat negeri itu juga meningkat.
“Jadi tak timbul isu kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang ini dipinggirkan,” katanya selepas majlis iftar perdana dan sumbangan kasih Madani Aidilfitri di Masjid Al-Hadhari di Pandang Rengas semalam.
Semalam, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden menolak dakwaan empat negeri ditadbir gabungan pembangkang tidak menunjukkan perubahan signifikan dari segi ekonomi dan pembangunan.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan peningkatan setiap tahun walaupun kurang mendapat sokongan Putrajaya yang merumitkan keadaan termasuk hal berkaitan kemasukan pelabur.
Afnan menjawab kenyataan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa empat negeri yang diterajui PAS itu tidak menunjukkan sebarang perubahan signifikan dari segi ekonomi dan pembangunan.
Kamil berkata pentadbiran SG4 juga perlu bertanggungjawab menangani isu berbangkit seperti banjir kerana ia salah satu faktor diambil kira pelabur untuk membuat pelaburan di negeri berkenaan.
“Saya ambil contoh isu banjir, ia adalah masalah besar yang membabitkan semua golongan. Jadi, jika perkara itu tak dapat diselesaikan bermakna keyakinan untuk pelabur itu membuat pelaburan di negeri tersebut berkurangan,” katanya.