Kerajaan Selangor diarah keluar laporan penilaian impak PJD Link

Kerajaan Selangor diarah keluar laporan penilaian impak PJD Link

Mahkamah Tinggi membuat keputusan berpihak kepada empat penduduk Petaling Jaya, memaksa kerajaan Selangor menyerahkan laporan penilaian impak utama dan reka bentuk terperinci projek lebuh raya kontroversi itu.

PJD LINK
Projek kontroversi PJD Link, yang diluluskan pada September 2020, telah mendapat pelbagai bantahan oleh penduduk.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan Selangor menyerahkan dokumen penting berkaitan cadangan projek lebuh raya bertingkat penyuraian trafik Petaling Jaya (PJD Link) kepada empat penduduk Petaling Jaya dalam tempoh sebulan.

Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan semakan kehakiman penduduk dalam beberapa bahagian, memerintahkan kerajaan negeri mendedahkan laporan penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak trafik (TIA) – dokumen yang sebelum ini diserahkan oleh pemaju projek, PJD Link (M) Sdn Bhd.

Beliau turut mengarahkan kerajaan negeri menyediakan reka bentuk terperinci projek lebuh raya kepada penduduk.

Bagaimanapun, beliau menolak permintaan penduduk untuk perjanjian konsesi antara PJD Link dan kerajaan persekutuan.

Mahkamah turut menganugerahkan kos RM5,000 kepada kerajaan persekutuan, yang dinamakan sebagai responden bersama dalam kes itu.

Penduduk, T Chakaravarthi, Kum Koo Ji, S Saktiseelan, dan Loke Yin Pong, diwakili peguam Lim Wei Jiet, manakala penolong penasihat undang-undang negeri Siti Radziah Kamarudin mewakili kerajaan Selangor.

Peguam Persekutuan M Kogilambigai mewakili Putrajaya.

Keempat-empat penduduk itu diberi kebenaran pada 2023 untuk meneruskan semakan kehakiman berhubung projek kontroversi terhadap kerajaan negeri dan persekutuan.

Mereka ingin mendapatkan akses kepada laporan penilaian impak yang berkaitan dengan PJD Link.

Pada 28 Nov tahun lepas, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mendedahkan bahawa agensi persekutuan telah meluluskan pelan penjajaran baharu untuk lebuh raya PJD Link yang dicadangkan oleh pemajunya.

Lee berkata beliau mengetahui perkara itu pada taklimat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

Ia biarpun kerajaan negeri mengumumkan pada 31 Julai 2023 bahawa ia telah memutuskan untuk membatalkan projek PJD Link selepas menganggap penilaian impak sosial pemaju tidak memuaskan dan tidak mematuhi syarat negeri.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil juga mengesahkan Putrajaya pada April lalu telah membatalkan projek itu selepas kegagalan syarikat konsesi terbabit mematuhi enam daripada 11 syarat kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.