
Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti digambarkan.
Beliau menegaskan tiada sebarang perjanjian lain dibuat selain penyelesaian yang telah diumumkannya secara rasmi semalam.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.
“Yang paling utama pembinaan masjid tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta itu dapat diteruskan seperti dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju berpindah ke lokasi alternatif telah dikenal pasti,” katanya.
Sehubungan itu, Zaliha menggesa semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah terbabit.
“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat tidak sahih kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.
Semalam, Zaliha mengumumkan kuil hindu itu yang dirancang ditempatkan semula untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid, akan dipindahkan 50m dari lokasi semasanya.
Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah bersetuju kuil itu dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz kuil.
Kuil itu akan terus beroperasi sehingga proses pemindahan bermula secara rasmi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka hadir majlis pecah tanah Masjid Madani esok, yang akan dibina di tapak tempat kuil itu kini terletak.
Pelan memindahkan kuil untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk peguam.