Terima wang tebusan RM50,000 culik wanita, tukang rumah mengaku salah

Terima wang tebusan RM50,000 culik wanita, tukang rumah mengaku salah

Tertuduh didakwa menerima wang tebusan di ladang kelapa sawit pada 3 pagi, 24 Jan 2017.

Suparman Aman, 46, dipenjara enam tahun atas pertuduhan pilihan menculik, lapan tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tukang rumah dipenjara enam tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan menerima wang tebusan berjumlah RM50,000 dalam kes culik seorang wanita di ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu, lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani mengarahkan Suparman Aman, 46, menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap pada 15 Mac 2022.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang tebusan, iaitu wang tunai kepunyaan sebuah syarikat yang juga majikan mangsa di ladang kelapa sawit itu pada 3 pagi, 24 Jan 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris memohon hukuman paling maksimum dan katanya, tertuduh bertuah kerana ditawarkan pertuduhan pilihan selain mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam.

Peguam Ghazali Ismail yang mewakili Suparman memohon hukuman ringan kerana pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Hassan sebelum menjatuhkan hukuman itu bertanyakan sama ada tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan perasaannya setelah berjauhan dengan isteri serta tiga anaknya.

Hakim itu turut menasihati Suparman yang menyesal atas perbuatannya supaya sentiasa mengingati anak dan isteri sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Ingatlah, kasihan pada anak dan isteri. Akhirnya, isteri juga yang menjadi mangsa,” katanya menurut Bernama selepas dimaklumkan Ghazali bahawa isteri tertuduh terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga setelah Suparman ditahan polis.

Pada 2 Julai 2020, tiga lagi rakan subahat Suparman iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, Mohd Khairul Anuar Musa, dan Abdul Hadi Abu Bakar yang ketika itu masing-masing berusia 40, 42, dan 25 tahun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi sama atas pertuduhan mengikut Seksyen 3 akta sama.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tujuh sebatan terhadap Zairol Nizan dan masing-masing lima sebatan terhadap Khairul Anuar dan Abdul Hadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.