
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata kebanyakan anggota penguat kuasa termasuk polis terbabit rasuah kerana terjebak gaya hidup mewah yang tidak sepadan pendapatan mereka.
“Aset yang mencurigakan mestilah disiasat secara menyeluruh bagi memastikan tidak ada unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada FMT, merujuk insiden terbaru membabitkan seorang anggota polis trafik yang didakwa ‘menerima’ sesuatu daripada pemandu kereta ketika sekatan jalan raya.
Kelmarin, tular rakaman video menunjukkan tiga anggota polis trafik membuat sekatan dan pemeriksaan berhampiran pusat beli-belah The Mines. Seorang anggota polis dilihat mengambil sesuatu daripada pemandu kereta yang ditahan sebelum memasukkannya ke dalam poket.
Jais berkata, sebarang salah laku dalam kalangan anggota penguat kuasa boleh dibanteras menerusi kerjasama erat antara institusi polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu dengan meningkatkan jumlah pegawai penyiasat di setiap jabatan penting.
“Pegawai SPRM boleh ditempatkan secara nyata atau rahsia di jabatan penting untuk memantau aktiviti mencurigakan,” katanya sambil menambah badan bebas diperlukan untuk memastikan siasatan terhadap anggota polis terlibat dilaksanakan dengan adil dan telus.
“Kelemahan dalam pengawasan hanya akan membuka ruang kepada amalan rasuah terus berleluasa.”
Katanya, hukuman keras terhadap anggota penguat kuasa yang terbabit kegiatan ‘sogokan’ juga antara jalan terakhir membanteras rasuah dalam pasukan polis.
“Hukuman tegas tanpa pilih kasih adalah antara jalan keluar dan tidak boleh ada kekebalan kepada pihak yang melanggar etika dan undang-undang,” katanya.
Selain itu, katanya, MCW menggesa orang awam berani melaporkan kes rasuah dan tidak membiarkan amalan sogokan berterusan.
“Rasuah hanya boleh dihentikan jika masyarakat berani melaporkannya. MCW menggesa rakyat tidak gentar dalam membuat aduan sekiranya mereka melihat atau mengalami sendiri situasi sogokan.
“Lindungi negara kita dengan menolak budaya ‘tutup sebelah mata’,” katanya.