
Hakim Ahmad Fadhli Mahmud juga mengesahkan bayaran itu kepada defendan, usahawan Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin.
Fadhli berkata, plaintif Shahruldi Mahafiz Ramli tidak mempunyai sebarang asas undang-undang menuntut wang hasil jualan itu kerana tiada penyataan dalam surat pentadbir harta pusaka menyatakan bayaran terbabit sebahagian harta pusaka si mati.
Menurutnya, plaintif tidak terlibat dalam transaksi itu, malah wang jualan telah diserahkan kepada defendan atas arahan si mati sendiri sebagai pertukaran jualan hartanah antara kedua-duanya.
“Ia disokong dengan surat akuan mengesahkan (si mati) tidak akan membuat sebarang tuntutan terhadap wang itu,” kata Fadhli dalam penghakimannya.
“Mahkamah dengan ini menolak permohonan plaintif dan mengarahkannya membayar kos sebanyak RM15,000 kepada defendan.”
Fahmi Adilah yang mewakili Azlan selaku peguam berkata, keputusan itu membuktikan kesahihan urusan jual beli hartanah dan membersihkan nama anak guamnya yang tercemar dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.
Menurutnya, plaintif telah menuduh anak guamnya sebagai seorang penipu yang menyeleweng wang hasil jualan hartanah arwah bapanya sehingga menyebabkan reputasi sebagai ahli perniagaan terjejas teruk.
“Lagi teruk isu ini disebarkan dalam media sosial dengan pelbagai fitnah ditabur terhadap anak guam saya yang sudah meningkat naik dalam perniagaan hartanah ketika itu,” katanya.
“Anak guam saya gembira dengan keputusan ini yang menamatkan pertikaian undang-undang selain mengesahkan beliau berhak sepenuhnya ke atas wang hasil jualan hartanah berkenaan.