
Ia selepas mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman oleh ibu tirinya, Raghad Kurdi Taib untuk membatalkan pelantikan Abu Bekir.
Menurut laporan Dayak Daily, mahkamah mengekalkan Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan Pejabat Daerah Kuching pada 26 April 2024 yang memberi Abu Bekir kuasa penuh untuk menguruskan harta pusaka tersebut.
Mahkamah juga menolak permohonan Raghad untuk membatalkan keputusan pejabat daerah itu dan dinamakan sebagai pentadbir bersama.
Pada 4 Dis lalu, Mahkamah Tinggi Kuching mendengar semakan kehakiman yang difailkan Raghad terhadap Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka Sarawak.
Beliau berhujah bahawa Seksyen 8 Ordinan itu mendiskriminasi wanita dengan mengutamakan waris lelaki dan duda berbanding balu dan saudara perempuan, sekali gus melanggar Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesamarataan jantina.
Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Leonard David Shim berkata beliau tidak menemui sebarang alasan untuk membatalkan pelantikan Abu Bekir atau membenarkan permohonan Raghad untuk menjadi pentadbiran bersama.
Shim berkata pegawai probet menggunakan budi bicara secara sah di bawah ordinan tersebut dengan mengutamakan waris lelaki berbanding balu.
Mahkamah juga memutuskan bahawa ordinan itu tergolong dalam undang-undang peribadi, yang dikecualikan daripada cabaran berkaitan kesamarataan jantina di bawah Perkara 8(5)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Raghad, Sylvester Lai, berhujah bahawa pelantikan anak tirinya sebagai pentadbir tunggal adalah satu bentuk diskriminasi dan menafikan haknya sebagai balu Taib.
Sebagai alternatif, Raghad mencadangkan supaya Majlis Islam Sarawak atau pihak ketiga yang bebas menguruskan harta pusaka itu berikutan pertikaian keluarga yang berterusan.
Bagaimanapun, Pejabat Peguam Besar Negeri, yang diwakili Lonie Pinda dan Syafiq Sapri, mempertahankan keputusan Pejabat Daerah Kuching dengan menyatakan bahawa pegawai probet bertindak mengikut bidang kuasa yang sah.
Abu Bekir selaku responden kedua diwakili peguam William Yeo, manakala Sulaiman Abdul Rahman Taib selaku responden ketiga diwakili peguam Alvin Chong dan Jonathan Tay.
Laporan itu tidak menyatakan sama ada Raghad akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.