Wanita 94 tahun gagal tuntut hak milik tanah di Raub

Wanita 94 tahun gagal tuntut hak milik tanah di Raub

A Sandramadi turut diperintah bayar kos RM10,000 kepada pentadbir tanah Daerah Raub serta pengarah tanah dan galian Pahang.

Pada 2019, A Sandramadi membuat tuntutan di mahkamah berhubung tanah berkeluasan kira-kira 0.1 hektar di Mukim Gali, Raub, yang didakwa miliknya, namun ditolak.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menolak tuntutan saman yang difailkan seorang warga emas berusia 94 tahun berhubung tanah berkeluasan kira-kira 0.1 hektar yang didakwa miliknya di Mukim Gali, Raub.

Hakim Roslan Mat Nor turut memerintahkan A Sandramadi, selaku plaintif, membayar kos RM10,000 kepada pentadbir tanah Daerah Raub serta pengarah tanah dan galian Pahang, selaku defendan.

“Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti keterangan saksi serta dokumen yang dikemukakan kedua-dua pihak,” kata hakim, lapor Bernama.

“Kos berkenaan bukan satu hukuman kepada pihak plaintif, namun mahkamah perlu mempertimbangkan kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak defendan dalam mengemukakan pembelaan.

Peguam R Kengadharan yang mewakili plaintif memberitahu pemberita, pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Defendan diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Fathin Nadhirah Kasim.

Pada 2019, Sandramadi, ibu kepada 11 anak, membuat tuntutan di mahkamah sama berhubung pemilikan tanah berkeluasan kira-kira 0.1 hektar terbabit namun ditolak.

Wanita itu kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pada 2020.

Mahkamah Rayuan memutuskan terdapat merit dalam permohonan berkenaan dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Sandramadi sebelum ini dilaporkan mendakwa sebahagian tanahnya diceroboh pihak ketiga, namun beliau terus menetap di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.