
Bekas pegawai penyiasat, R Rajagopal, dalam keterangan berkata Bakke menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai pengalihan dana tersebut semasa kenyataannya direkodkan sebagai sebahagian daripada siasatan skandal kewangan 1MDB.
Rajagopal, yang merupakan bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berkata demikian ketika disoal peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu atas dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
“Beliau (Bakke) menyatakan bahawa beliau dan lembaga pengarah tidak berpuas hati dengan sifat perjanjian usaha sama bernilai USD1 bilion yang ditandatangani antara 1MDB dan PetroSaudi International Limited (PSI) pada Sept 2009, serta pengalihan USD700 juta yang sepatutnya untuk usaha sama tersebut,” kata pesara polis itu.
Rajagopal, saksi pembelaan ke-11, berkata dana USD700 juta itu kemudian berakhir dalam entiti luar pesisir iaitu Good Star Ltd, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan bersambung esok.