
Nizam Bashir berkata, walaupun pihak polis mungkin tidak menyasarkan tuan tanah yang bertindak atas niat baik, kemungkinan mereka didakwa tidak boleh diketepikan sepenuhnya.
“Jika tuan tanah gagal melakukan pemeriksaan latar belakang, mengabaikan tanda-tanda seperti kerap ada pelawat larut malam atau tidak menghiraukan aduan berhubung aktiviti haram, ini boleh dianggap kecuaian atau buta sengaja.
“Mengenakan liabiliti jenayah ke atas tuan tanah dalam keadaan ini, secara umum tidak kelihatan tidak munasabah,” katanya kepada FMT.
Komennya menyusul amaran Bukit Aman pada 5 Mac lalu bahawa pemilik hartanah, badan pengurusan bersama, dan syarikat keselamatan boleh menghadapi tindakan undang-undang jika didapati bersubahat atau cuai membenarkan jenayah berlaku.
Tetapi, persatuan hartanah dan perniagaan membantah dengan berkata, tuan tanah tiada kepakaran dan alat penyiasatan diperlukan untuk memantau penyewa secara berkesan.
Nizam menggariskan beberapa undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa tuan tanah, termasuk peruntukan Kanun Keseksaan iaitu bersubahat melakukan jenayah, Akta Imigresen kerana membenarkan pendatang haram masuk atau tinggal di hartanah dan Akta Kastam berkaitan penyimpanan barang terlarang atau tidak bercukai, seperti rokok seludup.
“Apa pun undang-undang atau senario – pada dasarnya, jenayah tidak berbaloi dan semua peruntukan ke arah itu.”
Rohayu Abdul Majid dari Universiti Teknologi Mara bagaimanapun menolak pandangan tuan tanah boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah penyewa, walaupun mereka tidak tahu atau terbabit tindakan penyewa.
“Walaupun tuan tanah perlu berhati-hati ketika memilih penyewa, secara realistik mereka tidak boleh diharapkan mengawal atau meramalkan apa yang berlaku di sebalik pintu tertutup.”
Beliau berkata, mengenakan liabiliti berat ke atas tuan tanah boleh menghalang mereka menyewakan hartanah kerana takut kesan undang-undang atau menjadi terlalu berhati-hati, menyebabkan penyewa sah sukar mendapat tempat tinggal.
“Tuan tanah mungkin mengamalkan proses saringan lebih ketat atau enggan sewa kepada kumpulan tertentu, seperti warga asing atau pelajar kerana takut risiko yang boleh mencetuskan diskriminasi tanpa sengaja.”
Disebabkan kebanyakan tuan tanah mentakrifkan jangkaan dan peraturan mereka dalam perjanjian sewa, Tham Kuen Wei dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman mencadangkan klausa untuk pemeriksaan berkala setiap tiga hingga enam bulan dimasukkan.
“Tetapi, ini tidak patut melampaui pengawasan berlebihan atau pengurusan mikro terhadap kehidupan peribadi penyewa.”