
Memetik sumber, Harian Metro melaporkan, pemain-pemain terbabit mempertimbangkan tindakan undang-undang ekoran kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dilakukan kakitangan pentadbiran FAM sehingga menyebabkan pemain-pemain itu digantung selama setahun.
“Difahamkan peguam di luar negara sedang berunding dengan tujuh pemain itu bercadang untuk mempertimbangkan menyaman FAM kerana kesilapan teknikal yang mereka sendiri sahkan.
“Mereka (tujuh pemain) boleh berbuat begitu dan ia bukan perkara mengejutkan kerana periuk nasi mereka hilang sebab digantung,” kata sumber menambah, kontrak beberapa beberapa pemain turut ditamatkan serta-merta oleh kelab berikutan isu itu.
Menurut sumber lagi, langkah sedemikian dipertimbangkan agar pemain-pemain terbabit dapat membersihkan nama mereka, memudahkan mereka mencari kelab baharu selepas tempoh penggantungan berakhir.
Pada September, FAM dan tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Fifa selepas didapati FAM mengemukakan dokumen dipalsukan berhubung salasilah pemain bagi mengesahkan kelayakan mereka menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Pemain-pemain yang terlibat terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha; Facundo Tomás Garces; Rodrigo Julián Holgado; Imanol Javier Machuca; Joao Vitor Brandao Figueiredo; Jon Irazabal Iraurgui; dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) selain digantung daripada sebarang kegiatan bola sepak selama 12 bulan.
Pada Isnin, Fifa menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman terhadap badan induk bola sepak negara itu dan ketujuh-tujuh pemain terbabit.
Pemangku Presiden FAM Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan menulis kepada Fifa bagi mendapatkan alasan penuh keputusan itu secara bertulis sebelum membuat rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari.