Rasuah RM5,000, profesor mengaku tak salah

Rasuah RM5,000, profesor mengaku tak salah

Tertuduh didakwa guna kedudukan terima rasuah sebagai upah bantu sebuah syarikat dapat projek bagi keperluan pelajar.

Ahmad Rifqi Md Zain
Ahmad Rifqi Md Zain, 48, diikat jamin RM10,000 dengan sebutan semula kes 13 Mei ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Profesor sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah RM5,071, dua tahun lalu.

Ahmad Rifqi Md Zain, 48, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengetua sebuah kolej kediaman dalam universiti itu untuk menerima suapan RM2,000 dan RM3,071, masing-masing pada 24 Mei dan 2 Jun 2023.

Dia didakwa menerima rasuah sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja membekal dan menghantar pakaian kemeja-T berkolar, lanyard, mafela, dan ziplock beg bagi keperluan pelajar sesi 2023-2024 kolej kediaman itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shahruzaman dan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yusfarizal Yussoff.

Terdahulu, Aliff menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Faizi memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan RM5,000 dan tidak mengenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah mengambil kira faktor anak guamnya yang sering ke luar negara bagi tujuan akademik.

“Saya ingin berhujah tidak ada isu ‘flight risk’ dalam kes ini kerana tertuduh seorang profesor di universiti tempatan, telah lama berkhidmat dan kehadirannya hari ini bukan sebab tangkapan. Dia terima notis pada Jumaat dan hadir hari ini, jadi tertuduh tidak mempunyai niat atau risiko untuk lari,” kata peguam itu.

Muaz Ahmad kemudian berhujah hak kebebasan tertuduh adalah tidak dilanggar oleh permohonan pendakwaan kerana tertuduh masih boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pasport yang telah diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.