
Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata dalam serbuan di tiga lokasi antara petang Sabtu dan semalam polis pada mulanya menahan seorang pemandu lori berumur 27 tahun di Juru, dekat Bukit Mertajam, selepas menemukan pelbagai jenis dadah dalam kereta dipandunya.
Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang penganggur berusia 20 tahun tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama, sebelum menyerbu rumah suspek di Mak Mandin, dan menemukan pelbagai jenis dadah lagi.
Bercakap dalam sidang media, beliau berkata antara dirampas daripada kedua-dua lelaki itu ialah 1,938 peket dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 38.8kg, 24 bungkusan heroin sebanyak 6.8kg, syabu (0.946kg) dan ketamin 50.4g yang keseluruhannya bernilai RM6.524 juta.
Hamzah berkata, kedua-dua lelaki itu didapati mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan polis sedang giat mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket antarabangsa.
Sementara itu, dalam kes berasingan Sabtu lalu beliau berkata polis menahan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM160,884 selepas menyerbu sebuah rumah di Permatang Pauh, kira-kira 9 malam.
“Pemeriksaan di rumah pasangan berusia 35 dan 44 tahun itu membawa kepada penemuan syabu seberat 4.939kg dan 100 biji pil eramin 5. Polis turut menyita wang tunai, dua kereta, dua motosikal dan seutas jam tangan, yang semuanya bernilai RM177,100,” katanya.
Hamzah berkata, keempat-empat mereka kini direman hingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.