
Juwairiya berhasrat untuk meneruskan agenda yang dirancang kepimpinan sayap Wanita, dengan perincian lanjut misi dan visi beliau akan diumumkan nanti.
“Jumlah rekrut anggota wanita PKR agak perlahan. Perkara ini akan saya beri keutamaan terutama menarik golongan muda menyertai sayap parti. Usaha memperkukuh akar umbi mesti diteruskan,” katanya kepada FMT.
Juwairiya pertama kali terpilih sebagai timbalan ketua sayap pada pemilihan 2022, untuk digandingkan dengan Ketua Wanita Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Juwairiya bakal dicabar oleh bekas ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis, yang ingin mencuba nasib sekali lagi.
Napsiah memberitahu FMT bahawa beliau merebut jawatan itu bagi ““mengangkat perjuangan wanita ke aras yang lebih baik dan bermaruah”.
“Saya insaf cabaran besar menanti, pun begitu saya meyakini dapat memberikan pilihan kepada para anggota PKR dari sayap Wanita,” katanya.
Juwairiya menewaskan Napsiah dan seorang lagi pesaingnya, Faizah Ariffin, dalam pertandingan tiga penjuru.
PKR dijadual mengadakan pemilihan bahagian bermula 11-20 April, manakala pemilihan pimpinan pusat berlangsung pada 24 Mei.