
Prudential Malaysia dalam notis berkata, kos semakin meningkat mungkin memerlukan semakan tahunan ke atas pelan perubatan dan caj insurans bagi memastikan pemegang polisi dilindungi dengan baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Prudential, Lim Eng Siong dalam notis itu berkata, 74 daripada 1,000 pemegang polisi membuat tuntutan di bawah pelan PRUHealth berbanding 62 tahun lalu.
Menurutnya, setiap tuntutan menyaksikan peningkatan purata sebanyak 3.9%, iaitu daripada RM14,113 kepada RM14,664.
“Inflasi perubatan purata berdasarkan jumlah bil untuk PRUHealth dalam tempoh tiga tahun lalu masih meningkat pada kadar 5.1% setahun. Akibatnya, kos sebenar pelan perubatan anda meningkat sebanyak 23.6%.
“Kos sebenar pelan perubatan anda berkait rapat dengan jumlah pemilik polisi yang membuat tuntutan dan purata jumlah tuntutan perubatan mereka,” katanya dalam notis itu.
Ramai pemegang polisi menyaksikan peningkatan purata sebanyak 4% dengan sesetengahnya mengalami kenaikan premium sehingga 30%.
Menurut seorang pengurus insurans, peningkatan ini berkait rapat dengan rekod tuntutan pemegang polisi, di mana mereka yang tidak membuat tuntutan berdepan peningkatan terendah sebanyak 4%.
Lim berkata, kos penjagaan kesihatan meningkat secara konsisten disebabkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kesihatan dan rawatan perubatan lebih baik dengan kemajuan teknologi.
Prudential turut mencadangkan pilihan alternatif kepada pemegang polisi untuk mengurangkan beban kewangan mereka dengan mengurangkan manfaat semasa mereka atau mengubah kekerapan pembayaran premium mereka.