
Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd Shammim Azad Kamruzaman berkata pihaknya telah mengambil langkah intervensi iaitu meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan minyak masak diedarkan secukupnya kepada pengguna.

“Bekalan mencukupi kerana kita telah ambil langkah sewajarnya dengan kerjasama kerajaan untuk memastikan minyak masak dapat disampaikan secukupnya kepada pengguna di luar sana,” katanya selepas pelancaran filem pendek Saji sempena Aidilfitri.
Filem pendek bertajuk ‘Nas Si Goreng’ dibintangi Fadhli Masoot sebagai Anas, Nabila Huda sebagai Anisa dan Liza Abdullah sebagai ibu mengangkat tema kenangan, kasih sayang dan penyembuhan melalui ‘rasa’.
Pada 8 Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata ada syarikat mengurangkan pengeluaran minyak masak sehingga 50% berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dunia meningkat, yang menyebabkan kekurangan bekalan.
Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan intervensi segera bagi memastikan bekalan minyak masak kemasan botol cukup untuk keperluan pengguna dalam tempoh tiga bulan ini – iaitu sepanjang Ramadan, Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Menurutnya, bagi dua bulan pertama tahun ini, harga purata MSM per tan adalah RM4,672.50 pada Januari manakala RM4,759 pada Februari.