Niosh bantu syarikat penerbangan patuhi piawaian pelepasan karbon

Niosh bantu syarikat penerbangan patuhi piawaian pelepasan karbon

NIOSHcert, anak syarikat Niosh, satu-satunya badan pengesahan tempatan pertama untuk verifikasi skim pengimbangan dan pengurangan karbon untuk penerbangan antarabangsa (Corsia).

Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa mampu perkukuh industri penerbangan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) komited memperkukuh industri penerbangan dengan membantu pematuhan skim pengimbangan dan pengurangan karbon untuk penerbangan antarabangsa (Corsia).

Niosh berkata Niosh Certification Sdn Bhd (NIOSHcert) bersedia membantu syarikat penerbangan dalam memenuhi skim diperkenalkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bertujuan mengurangkan pelepasan karbon.

“NIOSHcert adalah badan pengesahan tempatan pertama mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM) untuk melaksanakan verifikasi pelepasan karbon di bawah program Corsia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Niosh, inisiatif itu turut menyokong usaha kerajaan yang mahu memulihkan industri penerbangan dan terus mencatatkan pertumbuhan seperti dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

“Dengan kepakaran dalam standard industri penerbangan, Niosh percaya perkhidmatan verifikasi ditawarkan NIOSHcert mampu memberikan penyelesaian telus kepada syarikat penerbangan Malaysia.

“Langkah itu sekali gus kebergantungan kepada badan antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri penerbangan serantau, pematuhan terhadap skim seperti Corsia turut menyumbang kepada agenda nasional dalam memperkukuh prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

“Ini sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur, rakan niaga antarabangsa serta pelanggan terhadap syarikat penerbangan tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.