Menteri arah baiki segera jalan berlubang selepas kemalangan maut di Johor

Menteri arah baiki segera jalan berlubang selepas kemalangan maut di Johor

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pihak konsesi diarah membuat tampalan kekal dalam tempoh 24 jam.

Dalam kemalangan di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara di Johor, Jumaat lalu menyebabkan dua beradik berusia 16 dan 17 tahun maut. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kerja Raya mengarahkan konsesi dilantik mengambil tindakan segera membaik pulih jalan berlubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Johor, yang meragut nyawa dua beradik dalam kemalangan pada Jumaat lepas.

Menterinya Alexander Nanta Linggi berkata pihak konsesi diarah membuat tampalan sementara dalam tempoh tiga jam pada hari kejadian dan melaksanakan tampalan kekal dalam tempoh 24 jam.

“Selain itu, kekerapan rondaan di laluan tersebut dan lain-lain laluan ditingkatkan manakala lokasi jalan berlubang yang dikenal pasti diambil tindakan dalam masa 24 jam.

“Papan tanda memaklumkan jalan rosak juga akan diletakkan di lokasi kerosakan jalan yang memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Dilaporkan dua beradik berusia 17 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa, Nanta berkata beliau sudah kerap menekankan bahawa kerja-kerja penyenggaraan perlu diberikan perhatian serius kerana melibatkan nyawa manusia.

“Namun, dalam berhadapan situasi kritikal ini, menuding jari kepada mana-mana pihak bukan pilihan yang sesuai kerana tindakan segera sudah seharusnya diberi perhatian.

“Justeru, saya sudah mengarahkan tindakan segera diambil dan telah memanggil semua terlibat untuk memberikan laporan lengkap dan terperinci kepada saya. Amaran keras juga telah saya berikan berkali-kali sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata di bawah polisi penyenggaraan aset, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui piagam pelanggannya menyatakan sekiranya terdapat kerosakan jalan raya, tampalan sementara hendaklah dilaksanakan pihak konsesi jalan Persekutuan yang dilantik dalam tempoh sehari manakala tampalan kekal perlu dilaksana dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi kerja pembaikan berskala besar, permohonan peruntukan perlu diangkat terlebih dahulu dan ia boleh dibuat secara tahunan dan berfasa.

Beliau berkata tempoh pembaikan pula akan mengambil masa antara sebulan hingga setahun, tertakluk kepada jenis dan kompleksiti pembaikan serta kelulusan peruntukan yang diterima.

Nanta berkata bagi penyenggaraan kerja-kerja baik pulih, setiap tahun JKR bersama pihak syarikat konsesi yang dilantik akan melaksanakan pemeriksaan ke seluruh rangkaian jalan Persekutuan di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.