Seorang lagi ejen direman disyaki rasuah percepat proses periksa kenderaan

Seorang lagi ejen direman disyaki rasuah percepat proses periksa kenderaan

Suspek ditahan petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

ejen pusat pemeriksaan kenderaan
Suspek berusia 30-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi ejen pusat pemeriksaan kenderaan kerana dipercayai menerima rasuah bagi mendapatkan nombor giliran untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah.

Perintah reman selama empat hari sehingga 25 Mac terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Assayidatun Najwa Muhammad Nasution selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, suspek dipercayai menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.

“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) semalam.

“Ia susulan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat sindiket ejen bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Semalam, seorang ejen di pusat pemeriksaan kenderaan direman lima hari oleh SPRM kerana disyaki menjual nombor giliran kepada pemilik kenderaan untuk percepat proses pemeriksaan.

Maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati terdapat beberapa individu menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.

Individu terbabit seterusnya menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh untuk membolehkan permohonan baru dibuat ke dalam sistem.

Modus operandi itu menyebabkan pelanggan biasa tidak dapat membuat tempahan slot pemeriksaan dalam masa terdekat berikutan slot itu ditempah sepenuhnya oleh ejen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.