PM mahu pembangunan di Sabah diberi penekanan

PM mahu pembangunan di Sabah diberi penekanan

Langkah itu agar kemudahan asas dan pembangunan ekonomi terus dipacu seiring demi kesejahteraan penduduk, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pembangunan Negeri Sabah di Pejabat Daerah Tuaran, yang turut dihadiri Ketua Menteri Hajiji Noor. (Gambar Facebook)
TUARAN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada projek pembangunan di Sabah, khususnya dalam aspek bekalan elektrik, pembinaan taman perindustrian, perumahan rakyat, dan pembaikan jalan raya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi terus dipacu seiring demi kesejahteraan penduduk negeri ini.

“Mesyuarat di Pejabat Daerah Tuaran hari ini menumpukan perbincangan kepada prestasi pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di Sabah, termasuk status projek sakit, permohonan projek keutamaan negeri bagi 2026 serta status kemiskinan tegar.

“Turut dibincangkan … inisiatif program Sabah Maju Jaya (SMJ), status Projek SejaTi Madani, Projek Kampung Angkat Madani, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan permohonan tambahan pembaikan jalan raya di Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pembangunan Negeri Sabah di Pejabat Daerah Tuaran yang turut dihadiri Ketua Menteri Hajiji Noor.

Anwar kemudian menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Sabah di Padang Istiadat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Hajiji serta seluruh jentera pentadbiran negeri dan kepimpinan masyarakat atas komitmen tinggi serta kerjasama erat dalam memastikan kestabilan politik yang kukuh bagi menjayakan pembangunan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.