
Kes mereka sebelum ini ditangguhkan mahkamah selepas Parlimen meluluskan pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 pada Julai tahun lalu.
Kumpulan pertama terdiri daripada enam pakar genetik perubatan yang menamatkan pengajian sarjana dalam patologi di Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah tajaan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kumpulan kedua pula melibatkan empat pakar bedah kardiotorasik yang memperoleh kelayakan kepakaran daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh.
Walaupun kelayakan mereka tidak diiktiraf dalam akta lama, ia telah dimasukkan dalam senarai pindaan baharu untuk pengiktirafan pakar.
Peguam mereka Jeremiah Rais berkata permohonan semakan kehakiman dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Mei.
“Pindaan Akta Perubatan yang diluluskan pada Julai tahun lalu bertujuan menyelesaikan masalah pendaftaran pakar.
“Memandangkan tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan oleh menteri, kami tidak mempunyai pilihan selain meneruskan semakan kehakiman bagi mendapatkan keputusan berdasarkan merit,” katanya kepada FMT.
Desak MMC jelas keperluan permohonan baharu
Enam pakar genetik tersebut telah menulis kepada KKM membantah keperluan mengemukakan permohonan baharu bagi pendaftaran sebagai pakar.
Mereka berkata MMC telah menghantar surat pada 11 Mac memintanya berbuat demikian kerana permohonan dibuat pada Januari 2023 tidak lagi sah.
Namun, mereka berpendapat MMC tidak mempunyai alasan mewajibkan permohonan baharu kerana program sarjana mereka sudah diiktiraf dalam akta yang dipinda.
“Sebaik sahaja pindaan itu berkuat kuasa, tidak ada asas yang munasabah untuk MMC menolak pendaftaran kami,” kata mereka.
Dalam surat tersebut, mereka menegaskan bahawa mereka berhak didaftarkan sebagai pakar di bawah akta yang dipinda dan meminta penjelasan mengenai tarikh pendaftaran rasmi mereka sebagai pakar.
Mahkamah menetapkan 21 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya bagi menetapkan tarikh pendengaran.