
KPM berkata ia tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan berunsur perkauman dalam ekosistem pendidikan.
“Satu pertemuan dengan ibu bapa pelajar terlibat juga telah dirancang untuk mencari penyelesaian. Khidmat sokongan psikososial turut disediakan,” kata jurucakap KPM kepada FMT.
Tegasnya institusi pendidikan kerajaan perlu dipastikan selamat, inklusif dan menghormati kepelbagaian bangsa, agama serta latar belakang pelajar.
“KPM melaksanakan pelbagai program latihan khusus untuk meningkatkan profesionalisme, kompetensi dan etika keguruan. Ini termasuk latihan pedagogi yang turut merangkumi aspek komunikasi dalam bilik darjah.”
Dalam klip audio itu, seorang lelaki mendakwa saudara kepada pelajar terbabit meminta guru itu mengesahkan melalui telefon sama ada dia memberitahu mangsa “boleh balik ke China”. Guru berkenaan mengakui berbuat demikian.
Guru itu juga didakwa melabelkan pelajar terbabit “bodoh” dan menyuruhnya “duduk dekat tong sampah”.
Guru berkenaan didakwa berkata, ini bukan kali pertama dia bercakap demikian dengan pelajar dan tiada aduan dibuat terhadapnya kerana berbuat demikian dahulu.
Dia juga didakwa berkata ia masalah besar jika ibu bapa pelajar itu tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu.
Apabila lelaki itu enggan mendedahkan butiran dirinya, guru terbabit mengancam melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana menceroboh privasinya dengan menghubunginya.
Guru itu mendakwa dia mengganggunya ketika sedang cuti sakit dan suaminya bersama pasukan polis serta boleh menjejaki lelaki terbabit melalui nombor telefonnya.