Izuan sah tanding jawatan timbalan ketua Pemuda PKR

Izuan sah tanding jawatan timbalan ketua Pemuda PKR

Adun Kota Damansara dan ketua Pemuda PKR Selangor itu berkata beliau menawarkan diri sebagai calon untuk penggal 2025-2028.

Izuan Kasim
Pada Julai 2024, sumber parti berkata Pemuda PKR Selangor melalui rombakan kerana Ketuanya, Izuan Kasim mengintai jawatan tertinggi di peringkat pusat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Kota Damansara, Izuan Kasim mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti akan datang.

Izuan yang juga ketua Pemuda PKR Selangor berkata, beliau menawarkan diri sebagai calon untuk penggal 2025-2028.

“Saya mohon sokongan dan dokongan rakan-rakan untuk bersama menggerakkan Pemuda PKR ke arah PRU16,” katanya dalam catatan Facebook.

Pada Julai 2024, FMT memetik sumber parti sebagai berkata, Pemuda PKR Selangor melalui rombakan kerana ketuanya (Izuan) mengintai jawatan tertinggi di peringkat pusat.

Pemimpin PKR yang enggan dinamakan itu berkata, rombakan berkenaan bagi mengukuhkan kedudukan Izuan menjelang pemilihan parti.

Sumber itu berkata, Izuan mungkin menyasarkan jawatan nombor dua di peringkat pusat, justeru timbalan baharu, Iman Haziq Hamizi, dilantik untuk Pemuda PKR Selangor.

Iman dijangka dilantik sebagai ketua Pemuda PKR Selangor pada pemilihan parti tahun ini.

Individu lain yang memegang jawatan baharu termasuk M Sivabalan (naib ketua 1), Christopher Ong (naib ketua 2), Afif Abdullah (setiausaha agung) dan Noor Atillah Abdullah Sani (ketua penerangan).

Izuan sebelum ini dilaporkan berkata, rombakan itu bertujuan memperhalusi operasi Pemuda PKR Selangor.

Katanya, beliau terbuka untuk bertanding jawatan tertinggi Pemuda PKR, bergantung kepada tahap sokongan boleh diperolehi daripada akar umbi parti.

Menurutnya, walaupun mendapat undi terbanyak bagi jawatan naib ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti 2022, beliau kehilangan jawatan itu selepas audit dijalankan ke atas keputusan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda PKR.

“Saya sudah berbincang panjang dengan aktivis di seluruh Malaysia dan mendapatkan cadangan mengenai hala tuju saya, walaupun terdapat ramai lagi pemimpin senior dalam Pemuda PKR yang berpengalaman, saya terpanggil untuk kembali menyumbang bakti kepada sayap muda parti.

“…saya melihat masih perlu berperanan di peringkat pusat kerana jawatan ini amanah daripada parti,” kata ketua Pemuda PKR Kedah itu menurut Berita Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.