2 filem disekat tayangan kerana tak bayar gaji kru

2 filem disekat tayangan kerana tak bayar gaji kru

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dua filem yang disekat itu menerima insentif dari kerajaan.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersama artis veteran di pada Sambutan Hari Seniman 2025 di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tayangan dua filem yang menerima insentif dana kandungan kreatif telah disekat susulan kegagalan pihak penerbitan membayar gaji kru produksi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Tanpa menamakan filem terbabit, beliau memberi peringatan tegas kepada pihak berkenaan agar segera melunaskan bayaran sebelum filem mereka dibenarkan untuk tayangan.

“Kita dapati sejak akhir-akhir ini ada sekurang-kurangnya dua filem yang saya tak akan namakan, yang kita dapati tidak membayar kru walaupun pihak penerbit telah menerima dana kandungan kreatif… jadi kita telah halang tayangan.

“Kita maklumkan kepada mereka untuk lunaskan bayaran-bayaran ini dahulu kemudian baru kita akan benarkan mereka memohon (tayangan) terutama di bawah Skim Wajib Tayang,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Seniman 2025.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi mengumumkan bahawa dana kandungan kreatif untuk 2025 akan dibuka mulai 24 Mac ini dengan lima kategori ditawarkan termasuk dua kategori baharu iaitu dana mikro drama dan dana pasca produksi.

Turut diperkenal semula ialah dana pemasaran dan pengedaran.

Selain itu, dana program TV khusus untuk Borneo dan dana pemasaran bagi penyertaan serta promosi antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata pindaan terhadap Akta Finas 1981 dijangka dibawa ke sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata pindaan itu akan membantu menjadi pemangkin kepada industri serta persediaan mendepani cabaran masa kini antaranya melibatkan isu kebajikan, kandungan dan perkembangan dalam talian.

Setakat ini, Jemaah Menteri secara dasar bersetuju meminda akta berkenaan dengan mengambil kira perubahan dalam industri perfileman, katanya.

Fahmi turut meminta Finas meneliti pelbagai aspek termasuk penggunaan kecerdasan buatan dalam industri perfileman dan menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan untuk memastikan industri terus berkembang seiring teknologi baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.