
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, berkata Akta Perhimpunan Aman tidak membenarkan Ketua Polis Dang Wangi (Noor Dellhan Yahaya) menghenti atau mengharamkan perhimpunan daripada berlangsung.
“Beliau hanya boleh mengenakan syarat bagi memastikan keselamatan peserta dan mengelak kesulitan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Perarakan berkenaan dianjurkan sebagai menyuarakan rasa tidak puas hati ke atas dakwaan intimidasi ke atas kehakiman terutama melibatkan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat hakim sedang berkhidmat.
Dianggar 500 peguam berkumpul di Padang Merbok pada hari berkenaan untuk berarak ke Parlimen bagi menghantar memorandum menyeru kerajaan meneguhkan kebebasan kehakiman.
Gan maklum bahawa “walk for judicial independence” diteruskan dan diakhiri dengan serahan memorandum kepada wakil Jabatan Perdana Menteri, walaupun timbul beberapa halangan.
“Peserta dibenar berarak, namun bukan (sampai) ke Parlimen,” kata Gan dalam penghakimannya.
Yang Arif juga maklum Noor Dellhan ada menekankan sekatan dikenakan kerajaan kerana Covid-19 sebagai alasan kepada larangan.
“Namun, Kementerian Kesihatan telah menggugurkan perhimpunan awam di kawasan terbuka sebagai aktiviti dilarang pada Mei 2022,” katanya sambil merujuk perarakan tersebut hanya berlaku pada 17 Jun tahun sama.
“Badan Peguam telah mencapai objektif (muktamad). Justeru, mahkamah ini membenarkan ganti rugi nominal untuk tindakan ini,” katanya.
Peguam badan itu, New Sin Yew, memberitahu mahkamah yang mana Badan Peguam hanya menuntut RM1 sebagai ganti rugi nominal memandangkan saman dikemuka atas sebab prinsip, di mana Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim, mewakili Dellhan dan polis, turut bersetuju.
Gan kemudian menyuarakan penghargaan kepada Badan Peguam dan polis kerana bersetuju dengan kuantum ganti rugi.
Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab, berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan mahkamah.
“Walaupun beberapa bahagian tuntutan tidak dibenarkan, keputusan ini mengesahkan hak asasi untuk berhimpun secara aman dan menjadi contoh penting dalam menegakkan kebebasan dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.