Bekas polis terlepas hukuman mati, bebas tuduhan membunuh

Bekas polis terlepas hukuman mati, bebas tuduhan membunuh

Mahkamah Rayuan berkata sabitan terhadap S Selva Kumar tidak selamat kerana percanggahan keterangan saksi dan tiada bukti dipercayai.

Court of Appeal
Mahkamah Rayuan berkata pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menunjukkan sebarang niat atau pengetahuan S Selva Kumar berkaitan pembunuhan tersebut.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pegawai polis terlepas tali gantung apabila Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh seorang peniaga pada 2014.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Mohamed Zaini Mazlan dan Noorin Badaruddin membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan S Selva Kumar terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi.

Selva Kumar, 47, didakwa membunuh S Shanker Ganesh, 23, di Kuil Batu 8 di Sungai Gadut, Senawang, Seremban antara 2 petang dan 7 malam pada 22 Feb 2014.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Noorin berkata terdapat percanggahan dalam keterangan tiga saksi pendakwaan sehingga membawa kepada ketiadaan bukti yang boleh dipercayai bagi menunjukkan bahawa Selva Kumar menembak mati mangsa.

Beliau berkata tanpa bukti saintifik bagi menyokong keterangan mereka, sabitan terhadap Selva Kumar kekal sebagai tidak selamat.

Hakim itu juga berkata pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menunjukkan sebarang niat atau pengetahuan di pihak Selva Kumar berkaitan pembunuhan tersebut.

“Terdapat percanggahan mengenai siapa yang menyaksikan tembakan itu, siapa yang mengebumikan mayat mangsa, bila perayu (Selva Kumar) hadir di lokasi kejadian, bila si mati dikatakan dikebumikan dan bagaimana dia ditembak,” katanya.

Beliau berkata punca kematian mangsa tidak dikenal pasti dan tiada pengesahan mengenai pemilik dua serpihan tulang yang ditemukan berhampiran lokasi kejadian kerana profil DNA gagal diperoleh.

Noorin berkata justeru itu, timbul keraguan yang munasabah sama ada mayat yang ditemukan di lokasi yang ditunjukkan saksi pendakwaan adalah milik mangsa atau rangka yang dijumpai adalah si mati dan bukan orang lain.

Mahkamah Tinggi Seremban mensabitkan Selva Kumar dengan kesalahan itu pada Mac 2022 dan menjatuhi hukuman mati yang menyebabkan beliau mengemukakan rayuan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat isteri si mati pada 25 Feb 2014 yang mendakwa Selva Kumar ditahan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, ketika berkunjung ke IPD Seremban, wanita itu dimaklumkan bahawa suaminya tidak ditahan.

Beliau kemudian menerima panggilan daripada seorang teman rapat si mati yang mendakwa Selva Kumar menangkap mangsa.

Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki yang mengaku bahawa dia bersama dua lagi individu mengebumikan satu mayat di Kuil Batu 8 di Sungai Gadut.

Lelaki itu kemudian membawa sekumpulan anggota polis ke kawasan tersebut dan menunjukkan kepada mereka tempat di mana mayat itu dikebumikan yang membawa kepada penemuan serpihan tulang selepas digali.

Polis menahan Selva Kumar pada Mei 2018 iaitu lebih empat tahun selepas insiden itu.

Pada prosiding hari ini, peguam Rajpal Singh mewakili Selva Kumar manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz hadir bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.