Akui fitnah berkait 1MDB, Lokman mohon maaf kepada peguam Rosli

Akui fitnah berkait 1MDB, Lokman mohon maaf kepada peguam Rosli

Pada April 2021 Lokman Noor Adam disaman RM50 juta kerana menuduh Rosli Dahlan dan firmanya raih keuntungan daripada penyelesaian 1MDB dengan Goldman Sachs serta AmBank.

rosli dahlan n lokman adam
Rosli Dahlan menerima permohonan maaf Lokman Noor Adam daripada Umno atas semangat Ramadan.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam memohon maaf kepada peguam kanan Rosli Dahlan berhubung dakwaan berkait penyelesaian dengan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs dalam kes 1MDB.

Permohonan maaf tanpa syarat itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahazan Mat Talib hari ini yang sepatutnya menjadi hari pertama perbicaraan kes saman antara kedua-duanya.

Atas semangat Ramadan, Rosli menerima permohonan maaf oleh Lokman yang pada April 2021 disaman RM50 juta susulan tuduhannya, antara lain bahawa Rosli dan firmanya meraih keuntungan daripada penyelesaian 1MDB dengan Goldman Sachs dan AmBank.

Lokman berkata, beliau mengakui menerbitkan tiga video mengandungi dakwaan palsu memfitnah Rosli yang menyebabkan kenyataan sama dibuat pelbagai pihak seperti Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Sinar Harian dan penganalisis politik Mazlan Ali.

Semuanya memohon maaf kepada Rosli pada 21 Mac 2021 dan 20 Okt 2023.

Lokman mengakui telah membuat kenyataan palsu dan fitnah terhadap Rosli sedangkan fakta sebenar antaranya peguam kanan itu tidak menerima komisen daripada pemulihan aset 1MDB, tiada pembayaran RM1.7 bilion dan RM283 juta bagi penyelesaian dengan Ambank.

“Adalah mustahil bagi Rosli atau firmanya menerima sebarang hasil daripada pemulihan aset 1MDB kerana semua hasil pemulihan dan penyelesaian telah dibayar terus kepada Jabatan Akauntan Negara dan bukannya kepada beliau atau firmanya.

“Dengan penuh penyesalan, saya dengan ini memohon maaf secara ikhlas atas kenyataan palsu dan fitnah saya yang telah mencemarkan maruah, integriti, dan reputasi Rosli serta menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan masyarakat.

“Sumbangan ikhlas beliau kepada negara seharusnya dihargai dan beliau tidak sepatutnya menjadi mangsa serangan politik,” katanya.

Sementara itu, Mahazan yang memuji Rosli kerana berjiwa besar turut mengarahkan permohonan maaf Lokman disebarkan secara meluas bukan hanya melalui media sosial pemimpin Umno tersebut tetapi media.

Katanya, ia sebagai pengajaran bahawa fitnah adalah perbuatan terkutuk dan tidak harus diulangi.

Peguam Hariharan Tara Singh mewakili Lokman manakala Rosli diwakili Amiratu Al Amirat Saleh Garbaa dan Elaini Mazlan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.